twitter
rss


Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Akhirnya pada tahun 1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Program BBSN yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN telah dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2009 telahpun dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Sarawak pada 6 Oktober 2009.

Tujuan Utama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) adalah untuk
Memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Bulan Bahasa Kebangsaan merupakan usaha kerajaan untuk menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dirancangkan. Memperkasakan bahasa kebangsaan juga bermakna kita mendukung Perlembagaan negara yang memaktubkan bahawa Bahasa Melayu / Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara juga seiringan dengan prinsip ketiga Rukun Negara iaitu mendukung “Keluhuran Perlembagaan.” Bahasa kebangsaan juga sejak sekian lama telah berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa. Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan ini juga selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu "Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris"

0 comments:

Post a Comment